Sunday, February 6, 2011

Kawasan Pelancongan

Antara tempat-tempat menarik yang boleh dilawati sekiranya berkunjung ke Kota Tinggi ialah Air Terjun Kota Tinggi yang terletak lebih kurang 16 km dari bandar Kota Tinggi. Sekiranya anda menyukai kehijauan hutan, Kota Tinggi juga mempunyai Hutan Lipur Panti. Selain daripada itu, sekiranya ingin melakukan aktiviti pendakian, Gunung Panti dan Gunung Muntahak boleh menjadi medan pertarungan. Pantai-pantai yang indah juga menggamit kehadiran pelancong. Antara pantai yang boleh dilawati ialah seperti Desaru, Tanjung Balau, Batu Layar dan Tanjung Sedili. Jangan lupa berkunjung ke perkampungan orang asli Kanaq di Kampung Sungai Selangi, satu-satunya petempatan kaum ini di dunia.

Pelancongan

 

Kota Tinggi juga dikenali sebagai sebuah bandar sejarah kerana Kesultanan Johor diasaskan di sini. Terdapat banyak makam sejarah di sini, termasuk Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang (makam sultan terakhir bagi Kesultanan Melaka) dan Makam Tauhid di Kampung Makam. Makam Laksamana Bentan pula terletak di Kampung Kelantan dan Makam Bendahara Tun Habib Abdul Majid juga di Kampung Makam. Cerita sejarah ini pernah difilemkan pada tahun 1960-an dengan diberikan nama "Dang Anom". Barisan pelakon yang membintangi filem ini termasuklah Allahyarham Nordin Ahmad sebagai Laksamana Bentan.
Bandar Kota Tinggi pada dirinya tidak begitu menarik, tetapi air terjun yang terletak di Lombong, 16 kilometer di barat laut bandar ini, merupakan destinasi pelancongan yang amat popular. Setinggi 36 meter, air terjun ini terletak di kaki Gunung Muntahak yang mempunyai ketinggian 634 meter. Air sungai yang dingin mengalir melintasi beberapa kolam yang cetek dan yang ideal untuk berenang. Keindahan semulajadi di beberapa bahagian tempat ini telah dirosakkan oleh pembangunan tempat peranginan dengan seni taman buatan.


Terdapat juga banyak pantai di sepanjang pinggir laut Kota Tinggi. Pantai-pantai paling popular ialah Tanjung Balau, Desaru , Batu Layar dan Tanjung Sedili yang masing-masing terletak 58 km, 55 km, 62 km dan 45 km dari bandar Kota Tinggi. Chalet-chalet dan hotel-hotel yang menawarkan kadar yang berpatutan boleh didapati dengan mudah di sepanjang pantai.


Teluk Sengat yang terletak 25 kilometer di timur bandar Kota Tinggi merupakan kampung makanan laut yang popular di kalangan pelancong, khususnya pelancong-pelancong dari negara Singapura. Untuk sampai ke Kota Tinggi orang ramai yang melalui Lebuhraya Utara-Selatan boleh menggunakan susur keluar Tol Kulai. Kota Tinggi tidak mempunyai laluan keretapi tetapi pengunjung masih boleh menggunakan kemudahan ini melalui Stesen KTM Johor Bahru yang merupakan Stesen terdekat. Jaraknya hanya 42 kilometer sahaja dari bandar Kota Tinggi.



No comments:

Post a Comment